Sunday, January 16, 2011

Sifat-Sifat Orang yang Hidup Untuk Islam

   Alhamdulillah, pada minggu lepas (rabu malam khamis, 12/01/2011) sekali lagi program usrah dengan Ustaz Abdullah dapat kami jalankan. Masih lagi dilokasi yang sama; di rumah sahabat Azli dan rakan-rakan.Selesai tadarus al-Quran, kami teruskan dengan perbincangan berkumpulan kami dengan mengupas buku tulisan saudara Fathi Yakan: Apa Ertinya Saya menganut Islam. Perbincangan kami sudah membawa ke Bab 2.2: Saya Mestilah Hidup Untuk Islam. 
   Memandangkan Ustaz Abdullah memberikan kami kebebasan memilih tajuk, saya lantas memilih sub-topik: Sifat-Sifat Orang yang Hidup Untuk Islam. Berikut adalah sebahagian daripada perkongsian saya pada malam itu.


1. Berpegang Teguh Kepada Islam Secara Praktik, kerana Iman itu (1) Sesuatu yang termetri dalam hati dan (2) dibuktikan benar oleh amalan.

Sejarah telah membuktikan bahawasanya rahsia kecemerlangan dan sumber kekuatan Umat Islam dalam menyiarkan syiar Islam adalah TAQWA. Baik dari bermulanya kerajaaan Islam di Madinah, Zaman Khulafa al-Rashidin, hinggalah ke zaman kerajaan Uthmaniah. Firman Allah (s.w.t) yang maksudnya:
"Jikalau sekiranya penduduk sesebuah negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan bukakan kepada mereka berkat dari langit dan bumi." (Surah al-A'raf 7:96)

Kepentingan Taqwa:
Taqwa diwasiatkan oleh Allah awal-awal lagi kepada Nabi Adam (a.s.) melalui firman-Nya:
"Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi 'auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian Taqwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat. (Surah al-A'raf 7:26)

Apa signifikasi ayat ini?
Secara tersurat, ayat ini menjelaskan kegunaan pakaian untuk kita; ianya untuk (1) menutup aurat,melindungi tubuh badan, dan juga untuk (2)paparan umum tentang diri kita.(pakaian tradisional misalnya) 

Sekarang cuba kita renungkan pula maknanya yang tersirat. Sifat Taqwa itu akan mejaga maruah si pemakainya, seperti sifat malu yang menghalang seorang muslimat dari berduaan dengan bukan mahramnya.
Harus diingat --> malu itu sebahagian dari Iman.^^,

Seterusnya, sifat Taqwa itu akan terserlah pada diri seorang muslim melalui perilakunya. Dia akan meneliti terlebih dahulu sebelum melakukan sesuatu perkara, dan sedaya upaya cuba untuk melakukan yang ma'ruf, semata-mata hanya kerana Allah (s.w.t). Masyarakat disekeliling akan dapat meneliti keindahan sifat Taqwa yang dipaparkan itu, sepertimana kita selalunya mengagumi keindahan busana tradisional kesultanan Melayu.



Sumber rujukan:(1)Fathi Yakan: Apa Ertinya Saya menganut Islam, (2) Majalah Solusi isu no:27, artikel "Disebalik Pesan Taqwa" tulisan saudara Pahrol Mohamad Juoi. 



No comments:

Post a Comment